nuffnang ads

Wednesday, November 14, 2012

Bolehkah Susu Ibu Menyebabkan Kekuningan Pada Bayi?

Bolehkah Susu Ibu Menyebabkan Kekuningan Pada Bayi?

05/01/2012
By drzubaidi


Isu Jaundice dan penyusuan

Ketika saya mempromosikan penyusuan ibu kepada bakal ibu-ibu yang masih lagi sarat hamil, saya telah dikejutkan oleh satu soalan yang mendebarkan.

“Doktor, saya membaca di internet bahawa susu ibu boleh menyebabkan bayi kita mengalami kekuningan jaundice. Boleh doktor terangkan?”

Saya tergamam dan tidak bersedia memberikan jawapan.

Saya pernah mendengar perkhabaran angin seperti itu, namun saya tidak mengikuti perdebatannya dengan teliti.

Semua orang tahu kebaikan susu ibu. Seingat saya semasa menuntut di universiti, penyusuan ibu adalah topik yang besar. Ia disebut secara terperinci kebaikannya dalam matapelajaran Paediatric dan Community Medicine. Malah pernah beberapa tahun keluar sebagai soalan pendek dalam peperiksaan tahun akhir.

Seharusnya setiap doktor yang lulus dalam pengajian perubatan menggalakkan para ibu mengamalkan penyusuan ibu. Untuk itu mereka harus mempunyai ilmu tentang penyusuan ibu ini dengan memberikan minat yang mendalam terutama terhadap isu-isu yang mungkin merisaukan ibubapa.

“Susu ibu boleh menyebabkan kekuningan jaundice?” saya berfikir sekali lagi. Mana logiknya susu ibu yang merupakan susu terbaik bagi manusia diberikan percuma oleh Allah, Tuhan pencipta alam memberikan kemudharatan pula.

Ini satu fakta baru yang selama ini saya tidak perdulikan. Saya ada menulis tentang jaundice di kalangan bayi yang baru dilahirkan di entri saya bertajuk “Jaundice: normal atau bahaya?” di

http://drzubaidi.com/blog/?p=1453.

Fenomena kekuningan jaundice di kalangan bayi yang baru dilahirkan adalah normal. Ia dinamakan physiological jaundice, bermakna fenomena yang normal dan semulajadi. Tidak perlu dirisaukan.

Ia bermula selepas 2-3 hari bayi dilahirkan. Puncanya agak rumit diceritakan, namun secara ringkasnya ia berpunca apabila kepekatan bilirubin berkumpul dengan banyak melebihi 85umol/L atau 5mg/dl. Bilirubin ini terhasil akibat sel-sel darah merah bayi yang mulai pecah dan terhurai secara normal ketika dilahirkan.

Pada kebiasaannya bilirubin diuruskan oleh organ hati dan akhirnya dikeluarkan dari tubuh melalui najis berak atau air kencing.

Tetapi jumlah bilirubin yang terlalu banyak tidak mampu diuruskan oleh organ hati bayi yang masih belum matang. Kepekatan bilirubin yang terlalu tinggi dalam darah menyebabkan kulit dan mata berwarna kuning.

Kekuningan jaundice akan berkurang secara perlahan-lahan antara 1-2 minggu selepas bayi dilahirkan. Bagi bayi yang dilahirkan secara pramatang pula akan mengambil masa lebih kurang 3 minggu.

Satu lagi fenomena kekuningan jaundice dinamakan breastmilk jaundice berlaku pada bayi sihat yang menyusu susu ibu. Kekuningan ini berlaku selepas bayi berumur seminggu dan menyusu ibu sepenuhnya. Ia berlaku hanya untuk sementara berlangsung antara 3-12 minggu. Selepas itu tahap kekuningan dan bilirubin akan perlahan-lahan berkurangan.

Ia juga adalah fenomena normal yang sangat jarang berlaku (0.5 hingga 4 peratus kelahiran). Diagnosa selalu dilakukan oleh doktor setelah memastikan tiada ‘kecacatan dalaman’ pada bayi.

Selagi kepekatan bilirubin dalam darah masih rendah, bayi mampu menyusu dengan baik, mampu membuang air besar dengan normal dan mempunyai warna air kencing yang jernih dan tahap kandungan bilirubin dipantau, maka tidak ada apa yang perlu dirisaukan dan penyusan ibu harus diteruskan.

Penyusuan ibu hanya harus dihentikan jika kepekatan bilirubin didapati melebihi 16mg/dl melebihi 24 jam.

(Rujuk “Breastfeeding: A Guide for the Medical Professional”, Lawrence, R. ,Mosby, New York, 1994, 152-4)

Sebab sebenar berlakunya kekuningan jaundice ini tidak diketahui. (Riordan & Auerbach 1999) (Lawrence 1994).

Namun terdapat pelbagai teori yang seolah-olah menyalahkan susu ibu. Pendapat yang mengatakan dalam susu ibu terdapat bahan yang menghalang pencernaan bilirubin. Namun teori ini belum dibuktikan.

Antara pendapat dan teori-teori itu ialah :

Teori pertama, susu ibu mengandungi epidermal growth factor (EGF) yang menghalang penghuraian bilirubin kepada bahan yang lebih mudah dikeluarkan dari tubuh. Dengan itu, bilirubin tidak dapat dibuang dari tubuh dan menyebabkan kepekatan bilirubin tinggi dalam darah.

(Rujuk: Kumral, A; Ozkan H, Duman N, et al. (2009). “Breast milk jaundice correlates with high levels of epidermal growth factor“. Pediatr Res 66: 218–221.)

Teori kedua, susu ibu yang mengandungi saki-baki pencernaan hormon progestrone yang dinamakan 3-alpha-20-beta pregnanediol yang menghalang tindakbalas enzim uridine diphosphoglucuronide (UDPGA) glucuronyl transferase yang berfungsi dalam pencernaan bilirubin dan membuang bilirubin. Sekali lagi bilirubin tidak dapat dikeluarkan dari badan.

(Rujuk: Arias, IM; Gartner LM, Seifter S, Furman M (1964). “Prolonged neonatal unconjugated hyperbilirubinemia associated with breast feeding and a steroid, pregnane-3(alpha), 20(beta)-diol in maternal milk that inhibits glucuronide formation in vitro.“. J Clin Invest 43: 2037–47)

Namun teori ini disangkal dalam kajian yang dilakukan oleh saintis lain.

(Rujuk Murphy, J F; Hughes I, Verrier Jones ER, Gaskell S, Pike AW. (1981). “Pregnanediols and breast-milk jaundice.”. Arch Dis Child 56: 474–76)

Teori ketiga, terdapat enzim dalam susu ibu lipoprotein lipase yang menyebabkan kurang tindakbalas glucuronyl transferase yang akhirnya mengganggu pencernaan dan pembuangan bilirubin.

(Rujuk: Poland, R L; Schultz GE, Gayatri G (1980). “High milk lipase activity associated with breastmilk jaundice.“. Pediatr Res 14: 1328–31.)

Secara peribadi saya tidak setuju dengan teori-teori yang menolak kebaikan susu ibu apatah lagi jika ada yang mengatakan bahawa susu ibu adalah susu yang bahaya dan boleh menyebabkan kekuningan. Ini kerana teori-teori itu masih lemah dan memerlukan lebih banyak pembuktiannya.

Malah bayi-bayi ini tidak mengalami apa jua masalah kesihatan. Breastmilk jaundice juga boleh berlaku secara berulang pada adik beradik yang lain.

Beberapa saintis lain yang menganggap kenaikan sedikit kepekatan bilirubin ini adalah fenomena normal berkemungkinan bertujuan melindungi bayi dan ia adalah sesuatu yang belum difahami. Oleh itu penyusuan ibu tidak perlu diganggu. (Riordan & Auerbach 1999) (Lawrence 1994) (Newman & Pitman 2000)


Terdapat juga fenomena kekuningan jaundice disebabkan apabila bayi tidak dapat susu yang secukupnya. Ini dinamakan breast-feeding jaundice. Selalunya disebabkan bayi-bayi yang baru dilahirkan ini lambat diberikan susu dan diberikan susu beberapa hari selepas itu, menyebabkan bayi menjadi lebih kekok dan akhirnya tidak pandai menghisap susu dengan baik dari payudara ibunya.

Menghisap susu secukupnya akan menggalakkan pergerakan usus dan menggalakkan bilirubin dikeluarkan dari tubuh melalui najis. Kekuningan ini akan berkurangan apabila bayi mulai menyusu dengan baik.

Oleh itu, jawapan saya adalah “susu ibu tidak merbahaya kepada bayi dan tidak menyebabkan kekuningan jaundice yang serius pada mereka. Penyusuan ibu harus diteruskan, kecuali dengan arahan doktor”

Bagi ibu yang mempunyai kekuningan pada bayi mereka, bawalah anak berjumpa doktor dan lakukan pemeriksaan kandungan bilirubin dalam darah.

Jika tahap kepekatan bilirubin kurang dari 20 miligram, beberapa langkah yang boleh dilakukan, antaranya:

Menambahkan kekerapan menyusukan bayi sehingga 8-12 kali sehari. Apabila penyusuan kerap dilakukan, ini akan menggalakan pergerakan usus dan secara tidak langsung akan pengeluaran bilirubin melalui najis.
Belajar dari jururawat yang mahir tentang penyusuan efektif kerana apabila bayi tidak menghisap puting dengan cara yang betul, ini akan menyebabkan jumlah susu yang diterima akan berkurangan.
Rawatan fototerapi boleh diberikan.
Jika doktor mencadangkan agar penyusuan ibu dihentikan buat sementara (24-48 jam) bagi mengurangkan kepekatan bilirubin, para ibu boleh memerah payudara dengan menggunakan breast pump bagi menyimpan susu dan boleh diberikan pada bayi kemudian.
Ramai yang memberikan air glucose kepada bayi (petua orang kampung) bagi mengurangkan kekuningan. Sebenarnya petua ini amat berbahaya kerana apabila memberikan air glucose boleh menyebabkan kembung perut dan menyebabkan bilirubin tidak dapat dikeluarkan melalui najis.
Wallahu a’lam.


Credit to : Dr Zubaidi bin Hj Ahmad

Tq Dr Zubaidi.. For this info..

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...