Proses memujuk dan melatih bayi untuk menerima payudara yang tidak digemarinya memerlukan kesabaran dan kesungguhan. Jangan sesekali memaksa bayi untuk menerima dan menyukai payudara bermasalah dalam masa singkat.
Mulakan dengan sentuhan kulit ke kulit antara bayi dan anda. Biarkan bayi meneroka tubuh agar dia dapat mengenal dan mengecam bau anda. Proses ini harus dilakukan sekerap mungkin.
Susukan bayi menerusi payudara yang digemarinya terlebih dahulu. Apabila susu mula dirembes laju di kedua-dua belah payudara,secara perlahan-lahan,tukar posisi bayi ke payudara yang kurang digemarinya. Dengan cara ini, bayi tidak akan menolak payu dara tersebut kerana aliran susu adalah lancar.
Anda juga boleh memulakan penyusuan dengan payudara yang bermasalah setiap kali penyusuan. namun lakukannya ketika bayi di dalam keadaan hampir tertidur, selesa atau tidak terlalu lapar.
Anda digalakkan untuk memerah payudara yang kurang digemari terlebih dahulu bagi menggalak bayi menyusu dengan selesa daripada payudara tersebut. Malah sepanjang proses menggalak bayi menerima payudara yang tidak disukainya, jangan lupa untuk memerah susu daripada payudara sebelah lagi agar rangsangan sentiasa ada dan mencukupi.
Lokasi penyusuan memainkan peranan penting. Suasana di sekeliling lokasi yang tenang dan selesa banyak mempengaruhi kejayaan anda melalui proses memujuk bayi.
Proses ini tidak berhasil dengan sekelip mata. Ia memerlukan beberapa hari atau minggu. Jangan sesekali berputus asa. Yakinlah diri bahawa anda boleh! hati perlu cekal dan minda mesti kuat..
Credit to : http://hanaseman.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment